Ayah Sayyidah Maryam bernama
Imran. Sedang ibunya bernama Hannah binti Faqudz.
Hannah adalah seorang wanita
yang sudah lama tidak mempunyai anak. Pada suatu hari ia bermimpi melihat
burung yang memberi makan anaknya dengan meletakkan makanan tersebut kepada
seorang anak perempuan kecil. Dari sebab itulah dia berkeinginan sekali dan
selalu berharap untuk mempunyai anak.
Dia selalu saja memohon
kepada ALLAH untuk dikaruniai anak. Dan ALLAH pun mengabulkan doanya itu. Pada
suatu saat suaminya menyetubuhinya dan akhirnya dia mengandung.
Setelah benar-benar dia
merasa hamil, maka dia bernadzar iaitu anak yang dikandungnya nanti akan
dibiarkan sepenuhnya untuk beribadah dan mengurusi Baitul Maqdis.
Ketika waktu melahirkan tiba,
maka lahirlah sang jabang bayi yang ternyata yang lahir adalah seorang wanita.
Mendapati hal ini, dia sangat murung dan bersedih hati seraya berkata dalam
hatinya,
Ya ALLAH, aku melahirkan anak
perempuan. Dan Engkau lebih mengetahui tentang keadaan seorang perempuan. Akan
tetapi, aku yakin bahawa ALLAH dalam menciptakan makhluk-NYA mempunyai tujuan
tersendiri.
Setelah itu Hannah lantas
memintakan perlindungan puterinya dan keturunannya kepada ALLAH dari syaitan
yang terkutuk dan menamakannya dengan Maryam. Dan ALLAH pun mengabulkan doa
Hannah ini.
Diriwayatkan dari Abu
Hurairah Radhiyallahu Anhu bahawasanya dia berkata,
Rasulullah bersabda,
‘Tidaklah setiap anak yang baru dilahirkan pastilah telah diperas syaitan
dengan satu kali perasan atau pun dua kali perasan kecuali Isa bin Maryam dan
Maryam (ibunya).
(HR. Muslim)
(HR. Muslim)
Rasulullah lalu membacakan
firman ALLAH,
Dan aku mohon perlindungan
untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada
syaitan yang terkutuk.” (Ali Imran: 36)
ALLAH menerima nadzar Hannah
sehingga puterinya tumbuh dan berkembang menjadi anak yang baik. ALLAH juga
menjadikannya seorang wanita yang berparas cantik dan indah sedap dipandang
mata. Maryam dijadikan ALLAH menjadi anak yang mudah menerima orang-orang soleh
yang dari mereka ini dia belajar ilmu-ilmu agama dan tentang seputar kebaikan.
Zakariya adalah orang yang selanjutnya mengasuh si kecil Maryam.
Ibnu Ishaq berkata,
Dia diasuh oleh Zakariya
kerana dia adalah seorang anak yatim. Akan tetapi satu pendapat mengatakan
alasan dia diashur Zakariya adalah, kerana pada saat itu satu tahun penuh Bani
Israel dilanda bencana penyakit menular. Oleh kerana itu, Maryam lantas
dititipkan orang tuanya untuk diasuh oleh Zakariya. Dan antara dua pendapat ini
tidaklah saling bertentangan. Wallahu a’lam. (Ringkasan Ibnu Katsir, Juz I,
halaman 347.)
Zakariya adalah suami dari
bibi Maryam, dan ada yang mengatakan bahawa Zakariya adalah suami saudara
perempuan ibunya Maryam sebagaimana hal ini disebutkan dalam satu riwayat yang
shahih Yahya dan Isa adalah dua anak dari dua bersaudara. - HR. Al-Bukhari,
dalam Al-Manaqib, 3887.
Maryam adalah seorang yang
sangat tekun beribadah. Dan setiap Zakariya memasuki tempat khusus Maryam untuk
beribadah, maka Zakariya kehairanan kerana mendapati makanan dan rezeki yang
melimpah di sisinya.
Mujahid, Ikrimah, Said bin
Jubair dan yang lain mengatakan,
Zakariya menemukan di dalam
tempat khusus ibadah Maryam buah-buahan yang seharusnya berbuah di musim panas
di musim dingin, dan menemukan buah-buahan musim dingin di musim panas.
Setelah Zakariya mendapati
kejadian aneh tersebut, dia bertanya kepada Maryam,
Dari mana engkau dapati
buah-buahan ini?
Maryam menjawab,
Dari ALLAH. Kerana
bahawasanya ALLAH memberikan rezeki kepada orang yang dikehendaki-NYA dengan
tanpa hisab (hitungan).”
ALLAH berfirman,
Sesungguhnya ALLAH telah
memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (di
masa mereka masing-masing), (sebagai) satu keturunan yang sebahagiannya
(keturunan) dari yang lain. Dan ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Ingatlah), ketika isteri Imran berkata,
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku
menadzarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh
dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Kerana itu terimalah (nadzar) itu
daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Maka tatkala isteri Imran
melahirkan anaknya, dia pun berkata,
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku
melahirkannya seorang anak perempuan; dan ALLAH lebih mengetahui apa yang
dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan.
Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya
serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang
terkutuk.”
Maka Tuhannya menerimanya
(sebagai nadzar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan
yang baik dan ALLAH menjadikan Zakariya pemeliharanya. Setiap Zakariya masuk
untuk menemui Maryam di mihrab, dia dapati makanan di sisinya. Zakariya
berkata,
“Hai Maryam dari mana kamu
memperoleh (makanan) ini?”
Maryam menjawab,
“Makanan itu dari sisi
ALLAH.”
Sesungguhnya ALLAH memberi
rezeki kepada siapa yang dikehendaki-NYA tanpa hisab. (Ali Imran: 33-37)
Ketika Zakariya melihat
Maryam dan segala kebaikan dan ketaqwaan dan bahawasanya ALLAH memberikan
rezeki kepadanya dengan rezeki yang baik dan bahkan sampai di luar kewajaran,
maka sekarang Zakariya mempunyai hasrat dan keinginan untuk mendapatkan rahmat
dan kemuliaan ALLAH iaitu agar ALLAH memberikan rezeki kepadanya berupa anak.
Meski dia adalah seorang yang sudah tua sedang isterinya adalah seorang wanita
yang mandul.
Zakariya tidak pernah
menyerah dan berputus asa untuk meminta rahmat dan keagungan ALLAH. Dia selalu
berdoa kepada Tuhannya untuk diberikan keturunan. Dia bermunajat kepada ALLAH
dan suara lirih berdoa kepada ALLAH sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH,
Di sanalah Zakariya mendoa
kepada Tuhannya seraya berkata.
“Ya Tuhanku, berilah aku dari
sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa.”
Kemudian Malaikat (Jibril)
memanggil Zakariya, sedang dia berdiri melakukan sholat mihrab, (katanya),
“Sesungguhnya ALLAH
mengembirakan kamu dengan kelahiran (seorang puteramu) Yahya, yang membenarkan
kalimat (yang datang) dari ALLAH, menjadi ikutan, menahan diri (dari hawa
nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang soleh.” (Ali Imran:
38-39)
ALLAH mengabulkan doa
Zakariya ini dan menganugerahinya seorang anak yang kelak akan menjadi Nabi
iaitu Yahya Alayhissallam.
Mari kita lanjutkan kisah
Maryam. ALLAH berfirman,
Dan (ingatlah) ketika
Malaikat (Jibril) berkata,
“Hai Maryam, sesungguhnya
ALLAH telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala
wanita di dunia (yang semasa dengan kamu). Hai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu,
sujud dan ruku’lah bersama orang-orang yang ruku’. Yang demikian itu adalah
sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepada kamu (ya
Muhammad); padahal kamu tidak hadir berserta mereka, ketika mereka melemparkan
anak-anak panah mereka (untuk mengundi) siapa di antara mereka yang akan
memelihara Maryam. Dan kamu tidak hadir di sisi mereka ketika mereka
bersengketa.” (Ali Imran: 42-44)
Malaikat memberikan khabar
gembira kepada Maryam bahawasanya ALLAH telah mengistimewakannya dan
menjadikannya sebagai orang pilihan, kerana banyaknya dia beribadah dan
berzuhud. ALLAH juga memuliakan dan menyucikannya dibanding dengan
wanita-wanita yang lain di seluruh jagad ini.
Hal ini sesuai dengan sabda
Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam,
Sebaik-baik wanita di muka
bumi ini adalah Maryam binti Imran dan sebaik-baik wanita di muka bumi ini
adalah Khadijah binti Khuwalid. (HR. Al-Bukhari & Muslim dalam
Ash-Shahihain)
Mujahid berkata,
Kerana terlalu lamanya Maryam
dalam berdiri beribadah, sehingga tumitnya membengkak. Dan bahawasanya ibu
Maryam itu Hannah binti Faqudz ketika membawa sang bayi Maryam dalam
gendongannya menuju ke masjid dan menyerahkannya kepada para rahib di Baitul
Maqdis sebagai penjaga dan pemeliharaanya, maka sang ibu berkata,
“Ini anak langkaku aku serahkan
kepada kalian.”
Maka rahib tersebut berebut
untuk dapat mengasuh dan menjadi orang tua asuh Maryam kerana Maryam adalah
anak dari imam mereka, iaitu Imran yang menjadi imam mereka di saat sholat.
Kerana mereka berebut untuk
mendapatkan hak asuh Maryam, maka diadakanlah undian, dan ternyata yang keluar
undian untuk mengasuh Maryam adalah Zakariya. - Ath-Thabari, 6/351.
Oleh kerana itu, Maryam
tumbuh dewasa di bawah asuhan Zakariya. Maryam berkembang di lingkungan Baitul
Maqdis sehingga dia menjadi seorang yang zuhud dan taat beribadah kepada
Tuhannya.
Siang malam dia gunakan untuk
mendekatkan diri kepada Tuhannya sehingga tumitnya membengkak.
Suatu saat, malaikat datang
kepada Maryam dengan membawa berita gembira bahawa kelak akan lahir dari
rahimnya seorang anak yang sangat istimewa. Anak tersebut akan lahir dengan
Kalimatullah, iaitu sekiranya ALLAH berkata langsung kepada sang janin,
Jadilah, maka jadi.
Dengan tanpa melalui hubungan
senggama terlebih dahulu. Nama anak yang akan dilahirkannya tersebut adalah
Al-Masih Isa bin Maryam.
Sebahagian ulama’ salaf
mengatakan, alasan dinamakannya Isa dengan Al-Masih adalah kerana banyaknya dia
melakukan perjalanan. Sedang sebahagian yang lain mengatakan, bahawa alasannya
adalah kerana dia adalah seorang yang telapak kakinya rata tidak ada
lekukannya. Sedang sebahagian ulama’ salaf yang lain mengatakan, bahawa alasan
Isa disebutkan dengan Al-Masih adalah setiap kali dia menyentuh orang yang
sakit, maka dengan seizin ALLAH, orang tersebut langsung sembuh.
Isa bin Maryam dinisbatkan
kepada ibunya kerana dia tidak mempunyai bapa. Dan seperti ini adalah mudah
bagi ALLAH kerana Adam Alayhissallam ini dilahirkan melalui ibu tanpa melalui
bapa. Maha Suci ALLAH Dzat yang Maha Agung dan Dzat yang mencipta dan Dzat yang
Maha Berkuasa yang jika mengatakan kepada sesuatu,
Jadilah, maka sesuatu itu
akan langsung jadi.
Ketika Maryam mendengar
khabar gembira yang disampaikan Malaikat, maka dalam munajat dan ibadahnya,
Maryam berkata kepada Tuhannya,
Tuhanku, apakah aku akan
melahirkan seorang anak, sementara tidak ada seorang pun yang menyentuhku?
Ini dikatakan Maryam dalam
munajatnya kerana dia bukanlah seorang wanita yang sudah bersuami dan bukan
pula seorang pezina atau pelacur.
Dalam menjawab pertanyaan
ini, ALLAH melalui Malaikat-NYA berkata,
Begitulah ALLAH menciptakan
sesuatu yang diinginkan-NYA. Dan anak yang akan kamu lahirkan ini akan
mempunyai keistimewaan. Dan di antara keistimewaannya adalah dia akan berkata
kepada manusia ketika masih dalam buaian.
Dalam hal ini Rasulullah
Shallallahu Alayhi wa Sallam bersabda,
Tidaklah dapat berbicara
seorang bayi yang ada di zaman Juraij, dan seorang bayi yang lain lagi. - Zad
Al-Masir, 5/217.
ALLAH berfirman,
Dan ceritalah (kisah) Maryam
di dalam Al-Qur’an, iaitu ketika dia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu
tempat di sebelah timur, maka dia mengadakan tabir (yang melindunginya) dari
mereka, lalu Kami mengutus ruh Kami kepadanya, maka dia menjelma di hadapannya
(dalam bentuk) manusia yang sempurna.
Maryam berkata,
“Sesungguhnya aku berlindung
daripadamu kepada Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertaqwa.”
Dia (Jibril) berkata,
“Sesungguhnya aku ini
hanyalah seorang utusan Tuhanmu. Untuk memberimu seorang anak lelaki yang
suci.”
Maryam berkata,
“Bagaimana akan ada bagiku seorang
anak lelaki, sedang tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan
(pula) seorang pezina!.”
Jibril berkata,
“Demikianlah. Tuhanmu
berfirman, “Hal itu adalah mudah bagi-KU, dan agar dapat Kami menjadikannya
suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah suatu
perkara yang sudah diputuskan.”
Maka Maryam mengandungnya,
lalu dia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh. Maka
rasa sakit akan melahirkan anak memaksa dia (bersandar) pada pangkal pohon
kurma, dia berkata,
“Aduhai, alangkah baiknya aku
mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan.”
Maka Jibril menyerunya dari
tempat yang rendah,
“Janganlah kamu bersedih
hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan
goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan
menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang
hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah,
“Sesungguhnya aku telah
bernadzar berpuasa untuk Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara
dengan seorang manusia pun pada hari ini.”
Maka Maryam membawa anak itu
kepada kaumnya dengan menggendongnya. Kaumnya berkata,
“Hai Maryam, sesungguhnya
kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar. Hai saudara perempuan Harun,
ayahmu sekali-kali bukanlah seorang penjahat dan ibumu sekali-kali bukanlah
seorang pezina.”
Maka Maryam menunjuk kepada
anaknya. Mereka berkata,
“Bagaimana kami dan berbicara
dengan anak kecil yang masih dalam ayunan.”
Berkata Isa,
“Sesungguhnya aku ini hamba
ALLAH, Dia memberiku Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi, dan
Dia menjadikan aku seorang yang berbakti di mana sahaja aku berada dan Dia
memerintahkan kepadaku (mendirikan) sholat dan (menunaikan) zakat selama aku
hidup, dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang
sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari
aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup
kembali.” (Maryam: 16-33)
Ayat-ayat ini menceritakan
kepada kita sebuah kisah menakjubkan tentang kelahiran Sayyidina Isa
Alayhissallam sekiranya ibunya iaitu Maryam melahirkannya dengan tanpa bapa,
padahal Maryam adalah seorang wanita suci yang tidak mungkin berbuat zina.
Ibnu Abbas berkata,
Jibril mendatangi Maryam
dalam wujud seorang pemuda yang berwajah sangat putih, berambut kerinting dan
berperawakan sedang. - HR. Al-Bukhari dalam Al-Ahadits Al-Anbiya’, 3436.
Para ahli tafsir mengatakan,
Jibril merubah bentuknya
menjadi seorang manusia agar perkataannya dapat diterima Maryam, disamping agar
dia merasa tenang dan tidak merasa ketakutan darinya. Meski demekian, Maryam
meminta perlindungan kepada ALLAH dari Jibril yang sudah berubah bentuk menjadi
manusia itu, dimana ini menunjukkan kesucian dan keiffahannya (terjaga harga
dirinya).
Jibril lantas meniup penutup
kaki Maryam dan dia tiba-tiba mengandung Isa Alayhissallam. Ketika Maryam
merasa sudah mengandung, maka dia pun mengungsi dan mengasingkan diri ke arah
timur Baitul Maqdis, untuk lebih meningkatkan beribadah kepada ALLAH dan agar
dia dan kaumnya terdapat penghalang untuk saling bertemu.
Kerana perasaan takut dan
khuatir dianggap sebagai seorang pezina kerana melahirkan seorang anak dengan tanpa
ada bapanya.
Datanglah waktu untuk
melahirkan dan rasa sakitnya yang teramat sangat. Maryam beranjak menuju ke
sebuah pohon kurma kering untuk digunakannya sebagai tempat berpegangan untuk
melahirkan.
Dalam keadaan yang sudah
payah tersebut, dia berkata berputus asa,
Alangkah baiknya jika aku
mati sebelum hari ini. Alangkah baiknya jika aku tidak dikenang dan tidak
diingat lagi oleh orang lain. - Ini adalah redaksi dari Qatadah. Ibnu Abbas
menggunakan redaksi, “Aku menjadi orang yang dilupakan.” Yakni alangkah baiknya
jika aku tidak diciptakan dan tidak ada di muka bumi ini.
Tiba-tiba Maryam mendengar
suara Malaikat dari arah bawah kurma tersebut dengan mengatakan,
Janganlah kamu bersedih
kerana kejadian ini. ALLAH telah menjadikan bagimu sungai kecil yang mengalir
di depanmu. Dan gerakkanlah pohon kurma kering di atasmu itu, maka ia akan
menjatuhkan buahnya yang segar.
Hal ini dimaksudkan agar
Maryam melihat mukjizat-mukjizat lain dari ALLAH iaitu menghidupkan pohon kurma
yang telah mati setelah melihat aliran air tawar yang dingin yang mengalir di
depannya. Itu semua adalah agar hatinya tenang dan agar dia tahu bahawa itu
semua adalah keramat yang diberikan ALLAH kepadanya.
Selanjutnya malaikat tersebut
berkata,
Jika kamu bertemu dengan
orang dan menanyakan tentang anak yang kamu lahirkan itu, maka katakanlah,
“Sesungguhnya aku bernadzar
untuk diam kerana ALLAH. Dan aku tidak berbicara dengan seorang pun dari
manusia.”
Maryam diperintahkan untuk
tidak berbicara dan menyerahkan jawabannya kepada bayi yang baru saja
dilahirkannya itu untuk menjawab setiap pertanyaan orang yang akan menanyakan
siapa bapa dari bayi yang dilahirkannya itu. Dan ini adalah satu mukjizat lain
yang sangat jelas.
Diriwayatkan dari Tamam
bahawa khabar gembira yang dibawa oleh malaikat kepada Maryam adalah bahawa Isa
Alayhissallam diajari ALLAH tentang Al-Kitab dan heekmah. Dan bahawasanya Isa
Alayhissallam akan menjadi seorang rasul yang diutus kepada Bani Israel,
disamping ALLAH akan menguatkannya dengan mukjizat yang sangat nyata.
Kemasyhuran dan keterkenalan
Maryam bahawa dia merupakan seorang yang ahli beribadah dan seorang wanita suci
dan sangat menjaga harga diri, tidak dapat menolongnya dari tuduhan orang lain
tentang lahirnya bayi yang dilahirkannya dengan tanpa bapa itu. Bahkan kaumnya
iaitu Bani Israel menuduhnya telah melakukan perbuatan mesum dan perbuatan yang
sangat biadap. Akan tetapi itu semua dihadapi Maryam dengan penuh kesabaran dan
rasa redha menerima qadha dan keputusan ALLAH.
Dalam salah satu cerita
diriwayatkan bahawa dia bersama dengan bayinya lari dan mengasingkan diri ke
Mesir agar dia dan bayinya selamat dari upaya jahat dan seksaan Bani Israel. Di
Mesir dia tinggal selama dua belas (12) tahun, bekerja sebagai pemintal sutera
dan pengetam gandum bersama-sama dengan penduduk setempat.
Di sana, dia juga menyerahkan
puteranya kepada para ulama’ Mesir untuk dididik, sampai akhirnya ALLAH
memberikan izin kepadanya untuk kembali ke Orsloem untuk beribadah di sana
sesuai dengan syariat Tuhan yang telah ditulis dalam kitab yang dibawa Musa
Alayhissallam.
Maryam tinggal di desa
bernama An-Nashirah sampai Nabi Isa meranjak umur remaja. Dan Maryam lah yang
memberikan sokongan dan semangat kepada Isa Alayhissallam ketika pertama kali
mendapatkan wahyu iaitu dengan cara bermimpi.
Ketika Nabi Isa Alayhissallam
sudah genap berusia tiga puluh tahun, iaitu setelah bermimpi menerima wahyu,
dia baru yakin bahawa dia adalah seorang Nabi dan Rasul ALLAH yang diutus
kepada Bani Israel.
Setelah sang ibu mendengar
bahawa puteranya telah mendapatkan wahyu dari ALLAH, maka dia berkata kepada
puteranya,
Wahai anakku, bahawasanya aku
telah diberitahu tentang ini semua sebelum kamu lahir.
Dan sejak saat itu, Nabi Isa
Alayhissallam berpisah meninggalkan ibunya untuk berdakwah mengajak Bani Israel
beriman kepada ALLAH. Dan ini semua adalah salah satu dari mukjizat ALLAH.
ALLAH berfirman,
Dan ALLAH akan mengajarkan
kepadanya Al-Kitab, Heekmah, Taurat dan Injil. Dan (sebagai) Rasul kepada Bani
Israel (yang berkata kepada mereka),
“Sesungguhnya aku telah
datang kepadamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu, iaitu aku
membuat untuk kamu dari tanah berbentuk burung; kemudian aku meniupnya, maka ia
menjadi seekor burung dengan seizin ALLAH; dan aku menyembuhkan orang yang buta
sejak dari lahirnya dan orang yang berpenyakit sopak; dan aku menghidupkan
orang mati dengan seizin ALLAH; dan aku khabarkan kepadamu apa yang kamu makan
dan apa yang kamu simpan di rumahmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah
suatu tanda (kebenaran kerasulanku) bagimu, jika kamu sungguh-sungguh beriman.”
Dan (aku datang kepadamu)
membenarkan Taurat yang datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagimu
sebahagian yang telah diharamkan untukmu, dan aku datang kepadamu dengan
membawa suatu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu. Kerana itu bertaqwalah kepada
ALLAH dan taatlah kepadaku. Sesungguhnya ALLAH, Tuhanku dan Tuhanmu, kerana itu
sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus. (Ali Imran: 48-51)
Begitulah, ALLAH menguatkan
Isa bin Maryam dengan beberapa mukjizat yang menakjubkan, agar dia mampu untuk
menyampaikan risalah Tuhannya kepada Bani Israel yang terkenal sangat kejam dan
pembangkang itu
Tidak ada komentar:
Posting Komentar